ETIQA MEMBUAT KERJA AMAL DI LUAR NEGERI

ETIQA MEMBUAT KERJA AMAL DI LUAR NEGERI
Staf Etiqa Taqaful yang mengikuti program Kembara Insaf di bumi Kemboja menyumbangkan sumbangan material kepada Madrasah Darul Naim di Kg Kopram Kompong Cham.

Kami Tidak Punya Nama Dan Berkerja Bukan Untuk Nama

Kami Tidak Punya Nama Dan Berkerja Bukan Untuk Nama
Anak-anak Melayu Champa daripada daerah yang terpinggir ini tidak bersekolah secara formal. Ibu bapa mereka tidak mampu untuk menyekolahkan mereka. Mereka hidup dengan cara yang 'simple' kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Melihat miliu kehidupan mereka benar-benar menyentuh perasaan. Meraka tidak kenal air paip, televisyen, radio, telefon bimbit, kereta, pakaian cantik, rumah besar, saham, wawasan dan masa depan. Tidak ada klinik di kampung mereka. Tidak ada balai raya. Ada 300 buah rumah di Kg Krapram dalam wilayah Kompong Cham dan penduduknya sekitar 1,000 orang. Surau yang belum ada daun pintu ini adalah sumbangan Muslim Malaysia. Hj Ramli (berbaju biru) dan Hj Rashid (di belakang) bersama anak-anak Kemboja.

Wednesday, September 22

GRUP TADARUS MUSLIMAH FRIM SUMBANG RM1400



Sempena Ramadhan/Syawal 1431 yang mubarak, Grup Tadarus Muslimah FRIM (Institut Penyelidikan Kehutanan Malaysia) Sg Buloh telah menderma wang berjumlah RM1,400 untuk pembangunan masjid dan madrasah di Kg Krapram Kompong Cham, Kemboja.

Semoga Allah menerima amalan infak mereka. Amin.

Monday, August 23

AFATS sumbangkan RM2272




Bekas penuntut Sekolah Pertukangan Perantis Angkatan Tentera (AFATS/SPPTD) telah menyumbangkan RM2272 kepada ustaz Salleh untuk pembinaan Masjid Kg Krapram di Kompong Cham Kemboja, semasa majlis berbuka puasa di Rejimen 515 Askar Wataniah di Kuala Lumpur pada 21 Ogos 2010.

Monday, May 17

Misi Kemboja di Sinar Harian



Kolum Rehal Sinar Harian 14 Mei 2010

Tuesday, May 11

Misi Kemboja Menarik Minat SINAR HARIAN



Blog Misi Insaf Muslim Kemboja telah menarik minat akhbar Sinar Harian untuk mendapat gambaran misi dan visi program ukhuwah dan kemanusiaan ke Kemboja. Editor Rencana Sinar Harian Darina Osman berkunjung ke rumah Haji Ramli Abdul Rahim pada 11 Mei 2010 untuk sesi temubual bagi kolum Rehal edisi Jumaat akhbar berkenaan.

Thursday, April 8

Anak-anak Kecil Minum Air Perigi




Kunjungan kami ke Kg Krapram Kompong Cham persis Yang Berhormat
kami disambut penduduk kampung

Apabila saya memandang
anak-anak kecil berebut-rebut minum air perigi
sedangkan kami dihidangkan air kelapa
dan buah anggur
saya menjadi sedih
hati di dalam ini menangis
orang-orang di Malaya minum air perigi sekitar 50-an
orang Kemboja dalam abad ke-21
masih minum air perigi

Saya mula terkarang-terkarang
untuk membikin
puisi kemanusiaan
buat ke sekian kalinya
setelah berada di bumi Kemboja


Ramli Abdul Rahim
Kg Krapram, Kompong Cham, Kemboja
23 Mac 2010

Friday, April 2

Mashaf Al-Quran Rasm Usmani untuk Madrasah Darul-Naim


Anak-anak murid Madrasah Darul-Naim ini gembira dengan ole-ole daripada Malaysia. Quran Rasm Usmani. Semoga ujroh amal jariah ini akan berterusan selagi al-Quran tersebut digunakan sepanjang zaman.

Monday, March 29

Apakah Masa Depan Anak-anak Muslim Melayu Champa Ini?








"Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga kaum itu merubah nasib mereka sendiri." al-ayah. Mungkin mereka tidak mampu merubah nasib diri mereka. Tetapi kita mungkin boleh menolong untuk berfikir untuk merubah mereka. Pendidik seperti Puan Rahazana bt Rahmat mungkin boleh memikirkannya.

Sunday, March 28

Perjalanan Untuk Muhasabah Diri



Melihat anak-anak Muslim Melayu Champa di Kemboja ini dengan pakaian yang lusuh menggamit jutaan simpati. Ramai yang tidak berbaju kerana ibu bapa mereka tidak mampu untuk membelikan mereka pakaian.

Perjalanan ke Kemboja untuk mendekati masyarakat Muslim Kemboja yang daif adalah sebuah perjalanan untuk muhasabah diri. Di Malaysia kita duduk di rumah banglo, semi-D, rumah teres, di Kg Krapram mereka tinggal dalam rumah yang buruk.

Di Malaysia kita menaiki Pajero, BMW, Mertz, di Kemboja mereka berjalan kaki, menaiki basikal atau motorsikal.

Di Malaysia kita ada breakfast, 10 o'clock break, lunch, minum petang, makan malam dan supper, di Kemboja kalau mereka boleh makan tengah hari dan makan malam sudah cukup bagus.

Mereka mungkin miskin. Tetapi hati mereka mungkin lebih tenang daripada kita yang dikelilingi kemewahan.

Perjalanan ini adalah untuk muhasabah diri. Apakah kita cukup bersyukur. Taat melaksanakan solat. Berdoa kepada Allah. Mengharap kepada Allah. Tidak putus daripada rahmat Allah.

Kita mampu untuk ke sana ke mari. Kita mampu untuk ke Mekah ada yang berkali-kali. Tetapi cuba kita lihat saudara-saudara kita di Kemboja. Perjalanan ini benar-benar menginsafkan diri.

Melayan Tetamu



Keluhuran dan kemuliaan masyarakat Muslim Melayu Champa dalam kemiskinan masih tersohor daripada cara mereka melayan tetamu daripada Malaysia. Orang-orang kampung yang datang menyambut kami hadir menyambut kami. Tetapi hanya kami yang dihidangkan dengan makanan. Hati kecil ini berkata, mereka lebih mementingkan orang lain daripada diri mereka sendiri.

Masih ingat bagaimana Saidina Omar sendiri mencari rakyat yang susah. Dia bertemu seorang ibu yang menjerang air dengan ketulan batu di dalam periuknya sebagai manifestasi makanan sedang disediakan tetapi pada hakikatnya ibu itu tidak punya makanan untuk dihidangkan kepada anaknya. Lantas Saidina Omar sendiri membawa gandum untuk diberikan kepada ibu yang miskin itu.

Jalan Dakwah



Lisanul Hal. Dakwah tanpa suara. Tetapi dengan gerak kerja kita. Itulah satu bentuk dakwah. Rutin Ustaz Ahmad Subki adalah berceramah di masjid-masjid di Wilayah Persekutuan. Di Kemboja dia tidak berceramah. Tetapi menunjukkan qudwah mengimfakkan harta ke jalan Allah. Ramai orang telah bercakap. Ramai orang membuat kerja menyeru ke jalan Allah. Tetapi kita perlu melihat realiti masyarakat yang diseru. Jika orang yang yang diseru itu sedang lapar, terfikirkan kita untuk membuatkan mereka kenyang? Kita membuat pendekatan murabi yang memberi ilmu untuk memancing ikan. Kita boleh memberikan mereka joran. Tetapi maduu (orang yang diseru) itulah yang akan membuat kerja memancing. Kita berikan harta, harta akan habis. Kita berikan ilmu, ilmu itu akan membantu. Demi masa depan mereka.

Saturday, March 27

A House Called Home



















Ini yang dipanggil rumah
untuk menahan hujan dari langit
untuk menghunjam embun pagi yang bertandang

Ini padang kehidupan manusia yang tidak kenal
persepi manusia yang terkurung di dalam hutan batu
cahaya kota

Hidup di sini masabodo dengan dunia asing
yang berperang dengan diplomasi
saham bursa
politik
perut
nafsi-nafsi

Mereka berperang sendiri
untuk mendapatkan sesuap nasi
di atas bumi Tuhan

semalam hari ini dan esok
berwajah sama
dan mereka tidak pernah kenal retorik
hipokrit
manusia
simpati itu untuk siapa

Ramli Abdul Rahim
Kg Krapram, Kompong Cham, Kemboja
23 Mac 2010

The so-called "SURAU"




Daif sungguh saudara Islam kita di bumi Kemboja.

Kediaman di Markaz Tahfiz di Kemboja



A picture that paints a thousand words.

Friday, March 26

Ruwaida 5 Yang Keletah




Anak Haji Zulkifli, Ruwaida yang baru berusia 5 tahun sungguh keletah. Pandai menguruskan kamera. Ziarah pertama setibanya di Phnom Penh adalah Masjid Pakistan. Semua telah solat jamak di Kuala Lumpur. Menunaikan solat sunnat menghormati Masjid. Wajah Hj Ramli di dalam masjid dirakamkan oleh Ruwaida. Bukan main banyak tanya. "Kenapa pakai baju raya ni?" tanya Ruhaida pada Hj Ramli semasa dalam perjalanan ke Kg Krapram Kompong Cham semasa di dalam van Mertz.

"Jangan panggil UNCLE, panggil ATUK," Hj Ramli mengusik Ruwaida.

"Aida" nama timang-timangan Ruwaida.

Wajah Pengemis Phnom Penh

















Wajah-wajah pengemis
yang pernah kutemui
di
Bangkok
Jakarta
Bandung
Nairobi
San Francisco
San Antonio
Mogadishu
Manila
Kaherah
Beijing
Mekah
sama saja
persis
di Phnom Penh.

Ia adalah
wajah
kemanusiaan yang
terluka.



Ramli Abdul Rahim
Phnom Penh, Kemboja
24 Mac 2010

Anak-Anak Ini Tidak Punya Buku Untuk Menulis




Melihat anak-anak Muslim Melayu Champa ini memang sedih. Kehidupan masyarakat Muslim Melayu Champa di Kg Krapram menggamit simpati. Ibu bapa mereka tidak mampu hatta untuk membelikan sebatang pensil dan sebuah buku tulis. Usah bicara pasal white board, LCD, flip chart. Itu jauh panggang daripada api. Sebagai kembara misi kami adalah untuk mendekati dan melihat sendiri dengan mata kepala kami sebuah warna kemanusiaan di bumi orang. Tetapi sebagai Muslim kita adalah umat yang satu. Tercubit peha kiri, peha kanan akan terasa. Anak-anak ini tidak kenal tadika dan sekolah. Pemerintah mereka tidak peduli dengan golongan minoriti Muslim di bumi Kemboja. Kita prihatin atas kesedaran kerana di atas kesenangan yang selama ini kita kecapi, kita sewajarnya melihat orang lain yang tidak senasib dengan kita. Rezeki daripada Allah. Kita imfakkan kembali untuk keredhaan Allah.

Thursday, March 25

Menggamit Infak Mendirikan Rumah Allah



Mafhum daripada hadis Nabi s.a.w. " Apabila mati anak Adam maka putuslah amalannya, kecuali sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan doa anak yang soleh."

Masjid untuk penduduk dan murid-murid Madrasah An-Naim ini masih di peringkat pembinaan dan perlukan dana untuk menyiapkannya. Untuk mengharapkan warga Kg Krapram yang serba kekurangan tentulah membebankan.

Masjid ini sekurang-kurangnya memerlukan 300 ribu USD untuk menyiapkannya. Infakkanlah harta saudara untuk jalan Allah. Kepada warga Malaysia yang berhasrat untuk menyumbangkan bantuan material dan meringankan beban menguruskan madrasah silalah hubungi Ustaz Saari (019-2664662)atau Hj Zulkifli Said (019-2617187).

Menukar Wang



Wang yang berkepuk-kepuk ini kami akan infakkan buat anak-anak Muslim Melayu Champa yang daif. Semoga Allah menerima amalan kami.

Ustaz Subki termenung panjang (T-shirt merah). Banyak modal yang difikirkan untuk ceramah di masjid-masjid di Malaysia hasil daripada lawatan ke Kemboja yang serba daif.

Ziarah Yang Mengusik Hati Nurani Manusia








Apa yang menyentuh hati pertama kali menjejakkan kaki di Kg Krapram dalam Wilayah Kompong Cham Kemboja adalah wajah kemiskinan yang membelenggu mereka. Rumah yang buruk menjadi tempat perlindungan mereka daripada panas dan hujan adalah standard. Tinggi dan cuma tangganya saja yang cantik. Tidak ada kereta. Tidak ada api elektrik. Tidak ada klinik. Tidak ada bangunan JKKK. Tidak ada sekolah. Tidak ada tadika. Tidak ada warong untuk melepak. Anak-anak penduduk Muslim Melayu Champa ini tidak mendapat pendidikan yang formal. Penduduk sekitar 1,000 orang di kampung ini mencari rezeki dengan menjadi petani, mencari ikan dan berkerja di ladang getah.

Kewujudan Madarasah Darul-Naim adalah atas inisiatif peribadi oleh anak tempatan yang mendapat pendidikan di Thailand dan Malaysia. Madrasah yang diusahakannya masih daif. Belum ada papan hitam. Anak-anak muridnya tidak punya buku dan pensil. Lantas kami bawakan kepada mereka naskhah al-Quran.

Suasana mereka persis Persekutuan Tanah Melayu sebelum meredeka 1957 malah mungkin lebih teruk lagi. Jubah-jubah yang didermakan oleh orang Malaysia kini dipakai murid-murid Madrasah Darul-Naim. Tetapi masih ada ramai lagi yang tak memakai baju. Itulah wajah kemanusiaan di bumi Kemboja.

Apakah akan jadi pada generasi mereka akan datang? Mereka tidak punya Wawasan 2020. Mereka tidak punya kumpulan 'Think tanks'. Mereka tidak ada yang membimbing. Tanpa usaha untuk merubah mereka, mereka akan terus menjadi manusia pasif, tidak inovatif justeru mereka terperusuk dalam dunia kemiskinan mereka sendiri dan siapa yang akan peduli dengan mereka. Tidak cukup dengan diajar untuk solat mereka perlu diajar untuk menguruskan masa depan mereka, dan peluang untuk mereka menuntut ilmu sehingga menara gading ternyata tertutup. Mereka akan hidup dengan keadaan yang selesa dengan serba kekurangan sejak mereka dilahirkan sehinggalah mereka menemui kematian.

Mereka tidak kenal internet. Mereka tidak kenal Bill Gates. Hatta kalau ditanyakan apakah mereka kenal Pol Pot, mungkin ada juga yang tidak kenal dengan manusia sadis yang telah membunuh bangsanya sendiri di bumi Kemboja.

Mungkin akan ada orang yang bertanya kenapa kami ke Kemboja. Tidakkah di Baling juga ada orang miskin? Jawapan kami di Malaysia ada Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pusat Zakat, Yayasan Membanteras Kemiskinan dan macam-macam agensi untuk mengadu. Di Kemboja orang Islam tidak ada tempat mengadu.

Kami bertolak daripada Phnom Penh pada jam 7 pagi dan sampai ke lokasi ziarah yang terletak kira-kira 200 km jauhnya ke Timur Laut Phnom Penh pada jam 10 pagi. Tidak ada yang menarik sepanjang perjalanan. Sawah padi kering kontang kerana musim kemarau. Sebenarnya wajah daif itu bukan hanya pada manusia Muslim kerana rata-rata penduduk Kemboja yang beragama Budha juga bukanlah senang sangat. Sama saja. Kemboja adalah negara yang miskin. Ia telah dilanda perang sejak 1954 melawan Perancis.

Pol Pot mengeruhkan sejarah Kemboja dengan The Killing Fields.

Wajah Kemboja di abad 21 tidak menjanjikan sesuatu yang cerah dalam waktu yang terdekat.

Wajah Phnom Penh







Pelbagai ragam dan wajah Phnom Penh. Ada yang menjual telor itik rebus. Ada yang menjual pisang bakar. Ada yang menjual cengkerik goreng.

Phnom Penh bukan sebuah bandar yang maju. Rata-rata bangunannya lama. Tidak ada bangunan pencakar langit. Manusianya hidup sederhana. Kenderaan yang paling banyak adalah motorsikal. Tuk-tuk adalah kenderaan awam yang murah.

Shopping Time



Intan, berlian, gelang, loket mana satu Dr. Aziz Fii nak pilih.

The Killing Fields







Tuol Sieng Genocide Museum asalnya sebuah sekolah. Pada mulanya ia adalah Pejabat Keselamatan 21 dalam kerjaan "Democratic Kampuchea" yang diwujudkan atas arahan Pol Pot ( Sa lut Sor). Pada 17 April 1975, Pejabat 21 dikenali sebagai S-21 dan direkacipta untuk menjadi pusat tahanan, interogasi, tempat penyeksaan yang tidak berperikemanusiaan dan pembunuhan selepas pengakuan diterima daripada tahanan.

Rekod jumlah tahanan:
- 1975 ( 754 tahanan)
- 1976 (2,250 tahanan)
- 1977 (2,350 tahanan)
- 1978 (5,765 tahanan)

Zaman Khmer Rouge menyaksikan 2 juta rakyat yang tidak berdosa mati di tangan Rejim Pol Pot. Zaman Pol Pot melahirkan The Killing Fields.

Misi Keinsafan Ke kemboja







Penerbangan ke Phnom Penh berlepas pada 22 Mac 2010. Rombongan misi keinsafan untuk menziarahi komuniti Muslim Melayu Champa di Kg Krapram dalam Wilayah Kompong Cham terdiri daripada Ustaz Saari, Ustaz Ahmad Subki, Haji Zulkifli Saaid dan isteri Rahazana Rahmat serta anak mereka Ruwhaida, Dr. Aziz Fii, En Md Shukor Said, Hj A.Rashid Adam, Hj Ramli Ab Rahim, En Roslan Mokhtar dan Hj Khairudin Ab Majid serta isterinya Jalilah Bahari.

Rombongan pulang ke Malaysia pada 24 Mac 2010.

Semasa di Phnom Penh kami mengindap di Hotel Puncak. Setibanya kami di lapangan terbang antarabangsa Pochentong, kami menaiki tuk-tuk untuk menikmati pemandangan bandar Phnom Penh. Pada sebelah malamnya kami keluar dengan tuk-tuk untuk menikmati wajah Phnom Penh di bawah kilauan neon.